ASSURE DASH: Inovasi Pembelajaran Berasaskan Permainan untuk Meningkatkan Pemahaman Model ASSURE
Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak
3 views · Published November 1, 2026
About the Project
Model ASSURE merupakan model reka bentuk pengajaran yang penting bagi guru pelatih untuk merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mengintegrasikan media dan teknologi secara sistematik. Namun begitu, pemahaman guru pelatih terhadap model ini sering kali terhad kepada menghafal akronim enam langkahnya, iaitu menganalisis pelajar, menyatakan objektif, memilih kaedah, media dan bahan, menggunakan media dan bahan, menggalakkan penglibatan pelajar, serta menilai dan menyemak semula, tanpa keupayaan untuk mengaplikasikannya dalam situasi bilik darjah sebenar. Sehubungan dengan itu, inovasi ASSURE DASH dibangunkan sebagai bahan pembelajaran berasaskan permainan yang berteraskan slogan “Pantas Bertindak, Bijak Mengaplikasi!”. Inovasi ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman guru pelatih tentang setiap langkah Model ASSURE melalui cabaran yang menuntut pemain bertindak pantas untuk mengenal pasti, menyusun dan mengaplikasikan langkah yang sesuai berdasarkan senario PdP yang diberikan. Unsur persaingan, had masa dan pengumpulan mata diterapkan untuk meningkatkan motivasi serta penglibatan aktif pemain. Inovasi ini dijangka dapat mengukuhkan pemahaman konseptual guru pelatih, menggalakkan pemikiran kritis dalam membuat keputusan pedagogi, dan menjadikan pembelajaran Model ASSURE lebih bermakna serta menyeronokkan. Selain itu, ASSURE DASH berpotensi untuk diubah suai bagi pembelajaran model reka bentuk pengajaran yang lain.