MY MIX NUMBER
SK SELAMAT
No views · Published November 1, 2026
About the Project
Penguasaan konsep pecahan merupakan salah satu kemahiran asas yang amat kritikal dalam kurikulum Matematik peringkat sekolah rendah kerana ia menjadi asas kepada pembelajaran topik-topik lanjutan. Walau bagaimanapun, 15 murid tahun 4 berhadapan dengan kekangan dalam menukarkan pecahan tak wajar kepada nombor bercampur. Kaedah konvensional yang lazim diajarkan memerlukan murid melakukan operasi bahagi secara formal—iaitu membahagi pengangka dengan penyebut bagi mendapatkan nombor bulat, baki serta penyebut yang kekal. Kaedah ini terbukti menjadi halangan besar khususnya bagi murid-murid yang masih belum menguasai fakta asas sifir dan algoritma bahagi dengan lancar. Bagi merapatkan jurang pembelajaran tersebut, satu inovasi bahan bantu mengajar (BBM) yang dinamakan MY MIXED NUMBER telah dibangunkan berasaskan prinsip visual, kinestetik dan bahan manipulatif konkrit. Inovasi ini beralih daripada kaedah bahagi konvensional kepada pendekatan tolak berulang, di mana murid menolak nilai penyebut daripada pengangka secara berperingkat sehingga baki akhir lebih kecil daripada nilai penyebut. Bilangan proses penolakan yang berjaya dilakukan secara automatik mewakili nombor bulat, baki penolakan bertindak sebagai pengangka baharu, manakala nilai penyebut dikekalkan. Reka bentuk alat ini membolehkan murid melihat perkaitan konsep secara visual dan berstruktur, sekali gus mengurangkan beban kognitif semasa menyelesaikan soalan.Dapatan pelaksanaan intervensi menunjukkan peningkatan yang sangat ketara terhadap kefahaman konsep asas, ketepatan jawapan serta tahap keyakinan murid dalam menyelesaikan masalah penukaran pecahan. Selain itu, inovasi ini berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang berpusatkan murid, aktif dan menyeronokkan, di samping memberi alternatif pedagogi yang praktikal kepada guru. Kesimpulannya, MY MIXED NUMBER merupakan satu inovasi intervensi yang berimpak tinggi, mesra pengguna, berkos rendah serta berpotensi besar untuk diadaptasi dan diperluaskan pelaksanaannya. Kata Kunci: Pecahan Tak Wajar, Nombor Bercampur, Tolak Berulang, MY MIXED NUMBER.